BNM akan keluarkan garis panduan crypto
KUALA LUMPUR 19 Sept. – Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan garis panduan mengenai mata wang elektronik atau crypto menjelang akhir tahun ini.
Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, pihaknya sedang mengkaji butiran penting berkaitan mata wang berbentuk baharu berkenaan yang telah menarik perhatian banyak bank pusat di seluruh dunia.
Katanya, BNM berharap garis panduan mata wang crypto dapat diperkenalkan sebelum akhir tahun ini khususnya berkaitan dengan pengubahan wang haram dan pembiayaan atau bantuan kewangan kepada kumpulan pengganas.
“Kami mahu memastikan bahawa terdapat garis panduan yang jelas bagi mereka yang mahu mengambil bahagian dalam sektor ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Global Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) di sini hari ini.
Crypto atau wang tunai digital ketika ini beroperasi secara bebas dan semakin popular dalam kalangan masyarakat di Malaysia mahupun luar negara.
Menurut laman web Investopedia, selain Bitcoin yang telah menjadi pencetus trend, terdapat banyak lagi mata wang crypto seperti Litecoin, Ethereum, Zcash, Dash, Ripple dan Monero.
Meskipun beberapa mata wang elektronik itu lebih mudah diniagakan daripada Bitcoin, terdapat risiko lebih tinggi antaranya kecairan lebih rendah, penerimaan dan pengekalan nilai.
Dalam perkembangan lain, Muhammad berkata, mata wang tempatan perlu sentiasa mencerminkan kekuatan ekonomi dan pengukuhan asas Malaysia.
“Kedudukan ringgit bukanlah satu perkara penting, tetapi apa yang lebih penting ialah ringgit mesti mencerminkan kekuatan ekonomi Malaysia.
“Jika pertumbuhan ekonomi dan inflasi terkawal, maka kadar pertukaran akan mencerminkan keadaan semasa,” katanya
Sumber : Utusan.com
Post a Comment