Header Ads

Malaysia bakal menggunakan Bitcoin?

Malaysia bakal menggunakan Bitcoin?

MATA Wang Kripto (Cryptocurrency) ialah istilah untuk mata wang digital yang tidak diketahui ramai ke­cuali dalam kalangan mereka yang berminat untuk menda­laminya sebagai instrumen pe­laburan dan kewangan. Ia dikatakan wujud kurang daripada 10 tahun lalu dan berkembang de­ngan pesat ke seluruh dunia.

Mata wang kripto yang dikenali sebagai bitcoin dicipta oleh Satoshi Nakamoto pada 2009. Tiada siapa yang boleh memastikan nama tersebut sama ada individu atau sekumpulan jurutera perisian komputer. Dalam tempoh yang singkat, mata wang digital dikatakan menjadi popular dan diterima sebagai salah satu kaedah transaksi global.

Ada yang menganggap bitcoin umpama ‘emas digital’ yang sah diperlakukan. Ia tidak dimiliki secara mutlak oleh mana-mana negara, kerajaan atau syarikat. Tek­nologi blockchain menjadi asas atau tulang belakang kepada mata wang kripto. Blockchain atau rangkaian bitcoin dikatakan memang terdapat dalam rangkai­an internet di seluruh dunia.

Ia dikatakan berkembang pantas melalui urusniaga dan pemindahan dalam alam siber tanpa melalui mana-mana orang te­ngah, umpamanya bank perdagangan, Paypal, Western Union, Visa atau mana-mana bank pusat. Ini juga bermakna, urusniaga dan transaksi yang dijalankan, tidak diselia oleh mana-mana pihak berkuasa kewangan di sesebuah negara.

Transaksi yang dibuat adalah hampir percuma kerana melalui kaedah konvensional, fi yang dikenakan ialah antara tiga hingga 10 peratus.

Fi yang dikenakan melalui tran­saksi bitcoin hanya sekitar satu peratus daripada nilai wang yang dikirimkan. Bayangkan jika jumlah wang yang dikirim berjuta-juta dolar, penjimatan adalah signifikan.

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, bitcoin adalah mata wang digital. Wang kertas boleh dicetak oleh bank pusat di sesebuah negara tetapi bitcoin yang sifatnya umpama ‘emas’, ia harus dilombong.

Terdapat hanya 21 juta unit bitcoin yang akan dikeluarkan dan ia telah mula dilombong sejak 2009 sehingga 2140. Sehingga ini, 15 juta bitcoin dikatakan sudah dilombong. Bitcoin kini berbaki enam juta unit untuk dilombong.

Kini di Malaysia, satu bitcoin bernilai RM20,000. Nilai ini pula turun dan naik berdasarkan penawaran dan permintaan. Bitcoin kini turut tersenarai di bursa pertukaran mata wang (currency exchange).

Untuk menyertai urus niaga mata wang kripto, peserta perlu mempunyai ‘dompet’ atau wallet. Mempunyai wallet ini umpama mendaftar untuk membuka akaun e-mel. De­ngan memiliki dompet digital, anda telah mempunyai akaun dan boleh berurusniaga, sama ada untuk menerima atau memindahkan bitcoin di alam siber.

Bagi pelombong atau bitcoin miners, mereka ini menggunakan komputer khas. Mereka akan menerima bitcoin sebagai ganjaran setiap kali berjaya melakukan sesuatu penyelesaian matematik.

Keseluruhan proses blockchain, melombong dan sebagainya, agak rumit untuk difahami de­ngan sepintas lalu, kecuali mereka dalam dunia komputer berteknologi tinggi. Idea terhadap mata wang kripto ini disokong oleh tokoh-tokoh jutawan dan ahli perniagaan terkemuka dunia.

Bagi mereka, ini adalah masa depan transaksi global, urusniaga universal dalam bentuk digital pada kadar hampir percuma.

Secara umumnya, apa yang mendorong ia berkembang pantas ialah kadar pulangan yang dikatakan berlipat kali ganda. Oleh kerana jumlah bitcoin adalah terhad dan semakin berkurangan, nilainya terus melambung dan ini memberikan keuntungan kepada individu yang memilikinya.

Mata wang digital ini boleh dibeli di bitcoin exchange sama ada di Malaysia atau mana-mana sahaja di seluruh dunia. Apa yang dinyatakan ialah serba ringkas dan umum mengenai mata wang kripto membabitkan bitcoin. Ba­nyak lagi yang harus dipelajari dan difahami.

Penulis bukan mempromosi atau menafikan kewujudan mata wang kripto tetapi melihatnya dari sudut satu cabang instrumen kewangan masa depan yang perlu dipelajari atau setidak-tidaknya difahami.

Cuma sekadar peringatan, ba­gi yang mementingkan hukum ha­kam, sesuatu yang tidak jelas atau nyata asal usulnya, ia harus dijauhi. Malah bank-bank pusat di Eropah dan Amerika telah mengeluarkan amaran terhadap kemungkinan keruntuhan sistem ini kerana ketiadaan kawalan dan seliaan oleh mana-mana pihak, atas sifat mata wang kripto tidak dimiliki sesiapa.

Paling menjadi kebimbang­an dalam dunia hari ini ialah ke­­khuatiran mata wang kripto di­gunakan sebagai alat untuk membiayai aktiviti pengganas di seluruh dunia oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Bagaimanapun, ada juga yang me­nganggap kehadiran mata wang kripto ini sama seperti keha­diran Internet satu ketika dahulu yang ditakuti menjadi ancaman. Kehadiran internet tidak boleh disekat, ia kini adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan seharian.

Malah Bank Negara, selaku bank pusat di Malaysia sedang men­jalankan kajian mendalam mengenai urusniaga mata wang kripto.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dilaporkan sebagai berkata baru-baru ini, mereka sedang menjalankan kajian mendalam meliputi semua aspek urusniaga mata wang kripto dan keputusan sama ada mela­rang atau membolehkan ia diniagakan di Malaysia bakal diketahui akhir tahun ini.

Bagaimanapun, jika keputusan membenarkan urusniaga mata wang kripto dibuat, katanya, satu garis panduan akan dibuat untuk menetapkan kaedah menangani isu ini, dari segi mendaftar peserta, mengumpul data serta memastikan aktiviti yang dilakukan, akan dibuat secara telus.

Korea Selatan dan China dilaporkan telah mengharamkan urusniaga mata wang kripto.

Menurut laporan, di Amerika Syarikat, mata wang kripto tidak dianggap sebagai wang sebalik­nya ia dianggap sebagai aset. Sebagai aset, ia boleh didagangkan. Ia juga boleh dikenakan cukai.

Sumber : Utusan.com

No comments

Powered by Blogger.